Kejayaan melayakkan diri dalam kempen Piala Malaysia musim ini menjadi lebih manis buat Sabah apabila penyerang importnya, Hector Omar Ramos, terpilih sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)-asiana.my bagi bulan Jun.

"Saya gembira kerana menerima anugerah ini dan sudah pasti ia tidak akan berlaku tanpa sokongan rakan sepasukan yang banyak membantu saya untuk menjaringkan gol.

"Selain itu, saya juga ingin berterima kasih kepada semua pegawai pasukan, terutama ketua jurulatih, Jelius Ating, pihak pengurusan, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan tidak dilupakan kepada PFAM.

"Fokus saya ketika ini adalah untuk membantu pasukan bagi memenangi aksi terakhir kami bertemu PDRM, Jumaat ini, dan sudah pasti saya bersiap sedia untuk terus membantu Sabah dalam Piala Malaysia," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu di Stadium Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

Ramos yang berasal dari Puerto Rico meraih anugerah itu selepas menerima undian tertinggi 52.74 peratus (663 undi).

Pemain itu menewaskan empat calon lain, iaitu Thiago Agusto Fernandes dari Felda United (13.76 peratus), Mugenthirran Ganesen dari MIFA (12.73 peratus), Darren Lok dari Johor Darul Ta'zim II (11.38 peratus) dan Akanni Sunday dari Terengganu FC II (9.39 peratus).

Pemain berusia 29 tahun itu menerima sebuah trofi dan sebingkai gambar sumbangan asiana.my, selain wang tunai RM500 sumbangan 139 Associates dan MK, jersi tajaan PaddyGear, produk minyak wangi tajaan BB7, kasut sukan tajaan AY Sports dan perapi rambut tajaan Major Pomade.

Anugerah dan hadiah-hadiah berkenaan disampaikan pemangku Presiden SAFA, Datuk Yusof Kassim, dan Bendahari PFAM, Rudie Ramli.

Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Joehari Ayub, Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.