Pengurus pasukan MISC-MIFA, K. Rajendran, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan ketika pasukannya gagal mengutip mata penuh apabila sekadar seri 3-3 dengan UKM FC dalam aksi Liga Perdana, hari ini.

Saingan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu menyaksikan MISC-MIFA bertekad bangkit semula susulan kekalahan 3-2 kepada PDRM, Selasa lalu.

Segalanya hampir menjadi buat mereka apabila L'Imam Seydi, Kpah Sean Sherman dan M. Youwarasan memperoleh jaringan.

Begitupun, kealpaan benteng pertahanan sekali lagi menjadi kebimbangan apabila lawan berjaya memperoleh tiga gol, termasuk satu pada masa kecederaan, untuk keputusan akhir 3-3.

"Dalam aksi sebelum ini, kami kehilangan tiga mata dan kali ini seri dalam perlawanan ini," kata Rajendran.

"Kami telah berjaya mengawal permainan ini dengan baik tetapi saya agak kecewa kerana gagal meraih mata penuh," ujarnya.

Sementara itu, pengendali UKM, Sulaiman Husin, berpuas hati dengan kemampuan pemainnya selepas berjaya mencuri mata daripada lawan.

Beliau turut memuji persembahan yang dipamerkan pemain import dari Korea Selatan, Nam Se-in, yang mencetak dua gol dalam pertemuan itu sambil menyifatkan ia memberikan lebih keyakinan buat pemain berusia 25 tahun itu.

UKM selepas ini akan berdepan UiTM FC di tempat lawan, Selasa ini.

"Se-in adalah pemain import terbaik dalam pasukan saya dan berharap dia akan terus mempamerkan aksi cemerlang buat UKM," kata Sulaiman.