PULAU PINANG 3 PDRM 1

Pulau Pinang menghidupkan peluang untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana selepas mengatasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-1 dalam aksi tunggal liga di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Kumbang itu naik dua anak tangga ke kedudukan ke-10 carta Liga Perdana dengan kutipan 15 mata setelah beraksi 15 perlawanan setakat ini.

Kekalahan itu, bagaimanapun, tidak mengubah kedudukan PDRM yang masih menghuni tangga ketiga liga dengan 25 mata setelah mengharungi 16 perlawanan.

Dalam aksi berkenaan, Shahurain Abu Samah meletakkan pasukan pelawat di hadapan seawal minit ke-11, sebelum Mohd Faiz Subri menyamakan kedudukan untuk Pulau Pinang pada minit ke-25.

Selang lima minit kemudian, pasukan tuan rumah mendahului menerusi jaringan Mohd Fitri Shazuan Raduwan dan keputusan 2-1 itu kekal sehingga berakhir babak pertama.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, kedua-dua pasukan saling berbalas asakan, namun nasib lebih menyebelahi Pulau Pinang yang meraih gol ketiga menerusi Mohd Faiz pada minit ke-61 dan keputusan 3-1 itu kekal sehingga tiupan wisel penamat oleh pengadil, Ku Alauddin Ku Muhammad.

-- BERNAMA

Imej: Asiana