Pengendali Felcra FC, Tarcisio Pugliese, dijangka mengekalkan Alif Samsuddin di bahagian tengah pasukannya untuk aksi getir Liga Perdana berdepan MISC-MIFA di Shah Alam Jumaat ini, selepas bekas pemain Negeri Sembilan itu beraksi cemerlang dalam aksi berdepan Sarawak.

Ketika bertemu Sarawak pada 10 Februari lalu, Alif mempamerkan persembahan cemerlang selaku pemain tengah bertahan yang membolehkan Felcra merakam kemenangan 3-2 di Kuching -- kemenangan sulung buat pasukan bagi musim ini.

Bagi Pugliese, Alif melaksanakan tugas dengan berkesan berdepan Sarawak dan tidak menolak kemungkinan kelibatnya akan diperlukan apabila berdepan MISC-MIFA.

"Setiap pemain telah mempamerkan persembahan cemerlang dalam perlawanan yang lepas dan Alif merupakan seorang pemain yang menyerlah," kata Pugliese.

Jurulatih itu menyedari skuad kendalian K. Devan musim ini berbeza berbanding musim lalu kerana mereka juga kekal ampuh tanpa sebarang kekalahan selepas tiga perlawanan.

Kerana itu, pengendali kelahrian Brazil ini mahukan anak buahnya mengerah segala kudrat memastikan tiga mata mampu diraih di laman sendiri.

"Mereka bermain dengan pantas, kami perlu berwaspada kerana saya menjangkakan perlawanan yang sukar menanti kami."