Syarikat pembekal pakaian rasmi skuad Kelantan, PUC Sport, memperkenalkan aplikasi mudah alih dalam urusan penjualan jersi dan barangan pasukan The Red Warriors (TRW) untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi, berkata sebagai permulaan aplikasi itu akan digunakan dalam penjualan jersi edisi khas TRW.

"Ini salah satu usaha terbaru kami untuk memperkenalkan dan menyemarakkan lagi penjenamaan semula pasukan.

"Selain itu, aplikasi ini juga akan turut dilengkapi maklumat terbaru pasukan dan boleh dimuat turun secara percuma bermula hari ini," ujarnya.

Mohd Shukry juga menjelaskan pihaknya sentiasa menjalin kerjasama dengan pasukan media Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam mendapatkan maklumat semasa TRW demi kepuasan penyokong.

"Kami sedar penyokong sentiasa dahagakan info atau maklumat terkini mengenai skuad utama Kelantan.

"Mereka boleh memberikan sokongan dengan memuat turun aplikasi ini.

"Sokongan anda memberikan keyakinan kepada kami dalam membantu kebangkitan semula TRW dalam saingan Liga Perdana 2020," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Shukry mengesahkan sebanyak 1,500 jersi edisi khas yang berharga RM69.90 akan dijual kepada peminat Kelantan dalam masa terdekat.



Editor: Shaiful Shamsudin