Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dijangka bakal dipimpin presiden baharu seawal bulan Julai nanti.

Jawatan utama persatuan berkenaan menjadi kosong berikutan perletakan jawatan Tan Sri Musa Aman pada 26 Mei lalu dan ianya akan diisi pada Kongres Tahunan SAFA yang dijangka diadakan bulan depan.

Selain jawatan presiden, turut bakal dipilih nanti ialah tiga lagi jawatan tertinggi iaitu dua timbalan presiden serta satu naib presiden selepas kesemua jawatan berkenaan dikosongkan, baru-baru ini.

Dua timbalan presiden sebelum ini adalah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Datuk Lawrence Gimbang namun ianya menjadi kosong selepas Tawfiq meninggal dunia pada Mac lalu manakala Lawrence meletakkan jawatannya pada 11 Jun lalu.

Datuk Harun Ismail, salah seorang dari empat naib presiden dan kemudian memangku jawatan timbalan presiden pada Januari juga telah melepaskan semua jawatannya pada 10 Jun.

Tiga lagi naib presiden yang masih kekal adalah Joehari Ayub, Benedict Asmat dan Yusof.

Setiausaha Agung SAFA, Alijus Sipil, berkata Kongres Luar Biasa yang dipengerusikan Pemangku Presiden, Datuk Yusof Kassim, telah diadakan semalam bagi membincangkan Pindaan Artikel 27 Perlembagaan SAFA iaitu bagi membolehkan SAFA mengadakan kongres biasa dalam tempoh 14 hari selepas notis berbanding 90 hari sebelum ini.

"Hanya satu agenda telah diterima dalam Kongres Luar Biasa ini iaitu untuk membuat pindaan terhadap Artikel 27 Perlembagaan SAFA berkaitan notis mengadakan Kongres Tahunan daripada 90 hari dipendekkan kepada 14 hari.

"Pindaan itu telah diluluskan dalam Kongres Luar Biasa tadi yang dihadiri 17 SAFA Daerah," kata Alijus.

Tambah beliau, cadangan pindaan itu akan dihantar kepada Pesuruhjaya Sukan hari ini bagi mendapatkan Sijil Kelulusan Pindaan Perlembagaan.