"Nampak sangat dia baru kenali kehangatan bola sepak Malaysia. Saya bersikap profesional. Sebaik wisel penamat ditiupkan maknanya apa jua keputusan kita kena terima. Tidak perlu dipanjangkan sifat egonya. Oleh itu, saya selaku ketua jurulatih kena memperbetul dan mempertahankan pasukan saya."

Ini reaksi Abu Bakar Fadzim dalam menjelaskan dakwaan pengendali Kuala Lumpur, Fabio Magrao, bahawa PKNP bersikap biadap sejurus tamat perlawanan di antara kedua-dua pasukan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat lalu.

Dalam situasi tersebut, pergaduhan hampir tercetus membabitkan jurulatih, pegawai dan beberapa pemain kedua-dua pasukan.

Dalam memperkatakan tentang kebenaran, Abu Bakar turut menjelaskan budaya orang Malaysia seperti diketahui umum amat santun.

"Selalunya orang kita (Malaysia) jika tidak diusik, tidak dilemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya, tidak akan cepat melatah. Kita mewarisi sikap itu.

"Sebaliknya, beliau (Fabio) sebagai ketua, tidak sepatutnya melayan kerenah pemain dan penonton.

"Beliau sepatutnya menyusun pasukannya untuk mencari sesuatu. Itulah salah satu tanggungjawab ketua jurulatih.

"Yang peliknya, PKNP sebagai pelawat tentulah yang menjadi mangsa provokasi tetapi ini sudah terbalik," ujar Abu Bakar lagi.