Penarikan diri PJ Rangers daripada saingan Liga FAM musim depan menamatkan perancangan jangka panjang pengendalinya, Hassan Sazali Waras, yang mahu membawa pasukan itu ke tahap berikutnya, iaitu saingan Liga Perdana.

Selepas tiga musim mengambil bahagian dalam Liga FAM, pengurusan PJ Rangers mengumumkan pasukan itu menarik diri daripada kempen musim 2019.

Sebaliknya, mereka lebih menumpukan kepada pembangunan akar umbi dengan menyertai Liga Super, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Menghormati keputusan berkenaan, Hassan bagaimanapun mengakui satu kerugian buat pasukan kerana mereka mempunyai peluang untuk ke Liga Perdana.

"Agak terkejut dengan keputusan kelab. Saya telah melakukan perancangan jangka masa panjang dengan barisan pemain muda yang dimiliki, saya yakin mereka mampu beraksi di peringkat yang lebih tinggi," kata Hassan.

Penarikan diri PJ Rangers juga secara tidak langsung menamatkan khidmat beliau yang menyertai pasukan itu pada Oktober 2017.

Beliau mengendalikan pasukan ke separuh akhir Piala FAM musim ini, namun tewas kepada Selangor United.

Berbekalkan pengalaman selaku jurulatih Harimau Muda C serta membimbing pemain muda, Hassan kekal terbuka dengan sebarang tawaran untuk mengendalikan pasukan lain untuk musim depan.

"Dengan pengalaman yang dimiliki, jika ditawarkan kontrak untuk mengendalikan pasukan dalam Liga M, saya bersedia untuk menaburkan khidmat," ujarnya.