Selepas surat pertama tidak dilayan, bekas ketua pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi atau Piya, sekali lagi menghantar surat kepada majikannya, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), untuk memohon dilepaskan sambil menuntut gajinya dibayar.

Piya yang menyertai semula TRW, 16 Mac lalu, berkata keputusan untuk menghantar surat kedua disebabkan KAFA telah melanggar Klausa 8.7 yang terdapat dalam kontrak pemain bola sepak yang ditandatangani bersama.

"Klausa tersebut jelas menyatakan kontrak itu boleh ditamatkan tanpa apa-apa kesan terhadap sama ada pembayaran pampasan atau dikenakan sekatan kesukanan jika pemain tidak menerima gajinya lebih daripada sekali.

"Untuk rekod, semenjak menyertai Kelantan, 16 Mac lalu, saya belum pernah menerima gaji daripada KAFA (Mac dan April). Kalau ikutkan Klausa 8.7, mereka jelas melanggar kontrak," katanya.

Piya juga berharap dapat menyelesaikan isu penamatan kontrak itu secara persetujuan bersama dan KAFA dapat mengeluarkan Sijil Perpindahan Pemain (SPN) nanti.

"Saya harap KAFA dapat berikan kerjasama dan membolehkan saya terus mencari rezeki bagi menyara keluarga.

"Saya juga berharap KAFA dapat menjelaskan tunggakan gaji selama dua bulan itu dengan kadar segera," katanya.