PDRM dan MISC-MIFA kini masing-masing berusaha untuk berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Perdana bagi memburu slot ke Piala Malaysia.

Hanya lima skuad terbaik daripada Liga Perdana akan layak secara automatik ke kejohanan berprestij itu.

Justeru, PDRM bertambah yakin untuk melayakkan diri selepas merakamkan kemenangan 3-2 ke atas MISC-MIFA ketika bertandang ke Stadium MBPJ, semalam.

Kemenangan itu berjaya membantu mereka melonjak ke kedudukan keenam dengan mengumpul 11 mata, satu mata mengatasi lawannya itu.

"Bagi saya, setakat ini masih belum lagi kerana terdapat baki beberapa perlawanan untuk
pusingan pertama.

"Selepas itu, mungkin baru melihat sama ada layak ke Piala Malaysia atau tidak," kata ketua pasukan PDRM, Fauzi Abdul Majid.

Persaingan kelompok pertengahan liga nyata masih lagi terbuka untuk pasukan MISC-MIFA.

Pengurus MISC-MIFA, K. Rajendran, berkata meskipun tewas, mereka tidak jauh ketinggalan dengan berada di belakang PDRM dengan 10 mata.

Jelasnya, dengan saingan liga masih berbaki 14 perlawanan lagi, MISC-MIFA juga berpeluang untuk mencipta kejutan melayakkan diri ke Piala Malaysia.

"Peluang memang ada dan kami percaya dalam tiga aksi sebelum tamat pusingan pertama,
kami mampu meraih sekurang-kurangnya enam mata.

"Kami akan cuba mengesahkan tempat ke Piala Malaysia," katanya.