Selepas meledak 11 gol dalam saingan Liga Perdana, penyerang import Sabah, Rodoljub Paunovic, beralih tumpuan kepada Piala Malaysia untuk menghadiahkan lebih banyak jaringan.

Pemain berasal dari Serbia itu merupakan penjaring terbanyak buat pasukannya, sekali gus dianggap sebagai tulang belakang dalam kejayaan skuad Tambadau menjuarai Liga Perdana 2019.

Selain itu, Paunovic berjaya menempah nama dalam senarai tiga pemain yang mendahului senarai penjaring Liga Perdana yang hanya dibezakan dua gol daripada penyerang import UiTM, Zarko Korac, dengan 13 jaringan.

Bagi pemain berusia 34 tahun itu, kejayaan yang diraih menjadi suntikan semangat dan motivasi untuk mencapai misi seterusnya untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini.

"Kami mahu kembali melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dalam edisi kali ini. Diharap ramai penyokong memberikan semangat kepada pasukan," kata Paunovic.

Sementara itu, selepas berjaya menamatkan penantian 23 tahun untuk menjulang piala, kapten Sabah, Rawilson Batuil, menganggap mereka sudah bersedia untuk menghadapi saingan Piala Malaysia meskipun mengakui perlu bekerja lebih keras.

"Saya berharap semua pemain sudah bersedia untuk menampilkan permainan lebih baik dalam saingan Piala Malaysia serta Liga Super musim hadapan," kata Rawilson.