Pemangku jurulatih UiTM FC, Reduan Abdullah, sedikit bimbang untuk berdepan wakil tunggal daripada Liga FAM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang dilabel pasukan paling sukar dalam Piala Cabaran.

Tiada lagi jalan lain buat UiTM dalam perlawanan kelima Kumpulan B, Piala Cabaran kecuali kemenangan yang bakal membuka laluan ke separuh akhir.

Cuma aksi bertemu ATM nanti, Reduan sama sekali tidak menganggapnya sebagai laluan mudah memandangkan pasukan itu pernah mengejutkan Johor Darul Ta'zim (JDT II) dan Pulau Pinang.

Biarpun barisan skuad itu 100 peratus terdiri daripada anggota tentera, Reduan kagum dengan semangat juang yang dipamerkan lawan setakat ini.

"ATM menerapkan semangat juang bepasukan.

"Walaupun tidak mempunyai pemain ternama, mereka memperagakan corak serangan yang kental untuk kami hadapi," kata Reduan.

Masalah utama buat Reduan ketika ini ialah di bahagian penyerang yang tidak menjaringkan sebarang gol dalam dua aksi terakhir.

Biarpun mencipta banyak peluang, terutama aksi membabitkan Pulau Pinang, dia kurang mengerti pemainnya tiada ketenangan di depan pintu gol.

"Jentera serangan kami agak tumpul.

"Kami cuba memperbaikinya, terutama terhadap peluang-peluang yang sepatutnya disudahkan.

"Justeru, saya memberi tumpuan khusus di bahagian serangan untuk menghadapi aksi akan datang," kata Reduan.