Walaupun sudah bergelar juara, kemenangan ke atas Kelantan malam esok pastinya menjadi hadiah terbaik buat penyokong Sabah yang dijangka membanjiri Stadium Likas, Kota Kinabalu bagi menyaksikan pasukan kesayangan mereka menjulang trofi Liga Perdana.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, mahu skuad kendalian Jelius Ating itu memberikan persembahan terbaik, seterusnya memenangi perlawanan itu.

"Sudah bergelar juara dan telah sahkan tempat ke Liga Super bukan alasan untuk ambil mudah perlawanan ini, sebaliknya ia perlu dijadikan medan bagi membuktikan kemampuan Tambadau sebagai pasukan juara.

"Ini juga adalah perlawanan terakhir kami sebagai tuan rumah dalam saingan liga musim ini dan kemenangan adalah hadiah terbaik untuk semua peminat bola sepak Sabah," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau juga menyeru kepada semua peminat bola sepak Sabah supaya datang beramai-ramai ke stadium kerana mereka bukan saja bakal disajikan dengan aksi skuad Tambadau menentang Kelantan tetapi turut menjadi saksi trofi Liga Perdana diserahkan kepada Sabah selaku juara musim ini.

"Ia sejarah yang membuka lembaran baru buat Sabah dalam kancah bola sepak negara, menamatkan penantian 23 tahun selepas kali pertama merangkul gelaran juara Liga Perdana pada 1996.

"Skuad Tambadau juga akan kembali ke saingan utama bola sepak negara, iaitu Liga Super, musim depan," katanya.

Sebarang keputusan malam esok, bagaimanapun, tidak akan mempengaruhi kedudukan Sabah selaku juara liga, namun kemenangan amat penting buat Kelantan yang kini bergelut keluar dari zon penyingkiran selepas baru mengumpul 14 mata.