Peter: Gaji pemain akan selesai sebelum Krismas

Oleh Willie Jude 8 Disember 2018 2341
Peter: Gaji pemain akan selesai sebelum Krismas
Bakal presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkeyakinan masalah gaji tertunggak yang dialami barisan pemain dan pegawai pasukan itu akan selesai menjelang sambutan Krismas.

Peter berkata ia adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan segera apabila beliau menjadi presiden nanti dengan jumlah keseluruhan dianggarkan mencecah RM6 juta yang turut merangkumi pemain Piala Belia, Piala Presiden dan skuad utama Sabah.

"Saya difahamkan jumlahnya kira-kira RM6 juta.

"Kami perlu menyelesaikannya dengan kadar segera kerana pemain-pemain memerlukan wang untuk kehidupan harian mereka.

"Saya yakin ia dapat diselesaikan sebelum perayaan Krismas," katanya.

Ketika ditanya mengenai persiapan pasukan utama Sabah bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, Peter berkata ia juga salah satu agenda utamanya.

"Kami akan memutuskannya secepat mungkin, termasuk kedudukan Jelius Ating sebagai ketua jurulatih.

"Kami telah terlambat, namun akan melakukan segala yang terbaik untuk menjadi pencabar utama musim depan.

"Dengan saingan liga akan berlangsung kira-kira tiga bulan lagi, kami mungkin akan menggunakan pemain-pemain tempatan Sabah dan pemain import untuk membawa cabaran pasukan musim depan," katanya.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen