Perubahan pucuk pimpinan SAFA rahsia kejayaan Sabah 

Oleh Bernama 14 Julai 2019 956
Perubahan pucuk pimpinan SAFA rahsia kejayaan Sabah 
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perubahan pucuk pimpinan dan pengurusan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) adalah rahsia utama kejayaan pasukan Sabah menjuarai Liga Perdana musim ini, sekali gus menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi.

Beliau berkata komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh seluruh pihak pengurusan SAFA, khususnya Pemangku Presiden, Datuk Peter Anthony, sejak kira-kira tujuh bulan lalu telah terbukti dan ia adalah hasil kerjasama semua pemain dan pihak pengurusan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh pengurusan SAFA, terutama kepada Peter, kerana berjaya menjulang trofi Liga Perdana musim ini dan berjaya ke Liga Super pada musim akan datang.

“Oleh itu, saya harap prestasi pasukan dapat dikekalkan untuk menghadapi Piala Malaysia dan Liga Super pada musim akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan trofi kejuaraan Liga Perdana 2019 di Stadium Likas, malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, serta beberapa barisan pimpinan Kabinet negeri.

Ditanya mengenai habuan atau ganjaran yang bakal diterima oleh pemain Sabah setelah menjuarai Liga Perdana musim ini, Shafie berkata perkara itu sudah dibincangkan, namun ia akan diputuskan kemudian.

“Apa yang penting bukanlah ganjaran, namun kami mahu lihat pemain terus bersemangat untuk bermain kerana mahu menghasilkan lebih banyak pemain profesional di Sabah sehingga mewakili negara ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, Stadium Likas bergema kembali dengan sorakan kejuaraan lebih 10,000 penyokong pasukan bola sepak Sabah selepas menyaksikan Piala Liga Perdana dijulang malam tadi.

Kejayaan tersebut lebih manis apabila skuad Tambadau itu menunjukkan aksi cemerlang dengan mengalahkan Kelantan 1-0.

Kali terakhir Sabah memenangi kejuaraan dalam Liga Malaysia ialah pada tahun 1996 manakala kejuaraan musim ini yang telah disahkan apabila Sabah berjaya menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, Rabu lalu, menyaksikan skuad Tambadau mengumpul 40 mata selepas 18 perlawanan, tujuh mata mengatasi Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di kedudukan kedua.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen