Pengendali Terengganu FC (TFC) II, Mustaffa Kamal Abdul Wahab, menyifatkan kekalahan 1-2 kepada PDRM, malam tadi sebagai persembahan terburuk pasukan itu di bawah bimbingannya musim ini.

Menyifatkan mereka beraksi di bawah kemampuan sebenar, dia juga meluahkan rasa terkilan dengan kelekaan pemain-pemainnya selain mempersoalkan komitmen yang ditunjukkan TFC II.

“Sepatutnya satu mata mampu diraih tetapi kami dihukum oleh kecuaian serta kesilapan komunikasi benteng pertahanan,” jelasnya.

Dengan apa yang dilihatnya dalam perlawanan itu, Mustaffa Kamal seolah-olah memberi bayangan akan membuat rombakan drastik dalam kesebelasan utamanya untuk baki saingan Liga Perdana.

Prestasi kesemua pemain, ujarnya, cukup mengecewakan, termasuk tonggak import dan senior. Turut menjadi perhatian ialah masa depan Lee Junhyeob yang gagal menyerlah bersama TFC II.

Status pemain kelahiran Korea Selatan itu begitupun belum diputuskan dan dia menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan dalam jendela perpindahan pemain ketika ini.

“Saya sudah memberi peluang kepada Junhyeob dalam enam perlawanan. Sebagai pemain import, dia sepatutnya menjadi pemain utama, namun aksinya lebih buruk berbanding pemain tempatan.

“Dengan persembahan seperti itu, saya tidak pasti sekiranya dia masih akan berada dalam pasukan ini,” tambahnya..