Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) akan memastikan permohonan bagi mendapatkan lesen kelab lengkap sepenuhnya sebelum saingan Liga Super musim depan bermula.

Pemangku presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata proses permohonan itu kini sudah hampir 90 peratus lengkap dan beliau yakin ia akan selesai sebelum musim baru nanti.

"Hanya kira-kira 12 hingga 13 peratus lagi yang kurang dan kami yakin segala dokumentasi yang diperlukan akan dilengkapkan dalam masa terdekat ini.

"Proses bagi melengkapkan permohonan itu juga berjalan lancar dan kami akan penuhinya bagi membolehkan Sabah beraksi dalam Liga Super musim depan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Kota Kinabalu, hari ini.

Lesen kelab adalah mandatori bagi pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Super.

Musim depan, Sabah akan beraksi dalam Liga Super selepas dinobatkan juara Liga Perdana musim ini.

Sementara itu, Peter berkata antara pengisian EGM yang diadakan hari ini ialah membincangkan kekosongan tiga jawatan penting SAFA, iaitu timbalan presiden dan dua naib presiden selepas penyandang sebelum ini meletakkan jawatan.

Selain itu, turut dibincangkan ialah pemberian bantuan untuk semua ahli gabungan SAFA bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti di peringkat daerah masing-masing.

"Memang ada antara ahli gabungan yang tidak begitu aktif dan kami akan pastikan mereka aktif semula dengan bantuan yang akan diberikan mulai tahun depan.

"Sehubungan itu, kami bercadang untuk memberi bantuan kepada setiap ahli gabungan SAFA di seluruh daerah bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti, termasuk menganjurkan kejohanan bola sepak," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata satu mesyuarat agung (AGM) akan diadakan 16 Ogos depan bagi membolehkan pemilihan jawatankuasa baru dibentuk.

"Tujuan pemilihan dibuat adalah bagi memperkasakan lagi bukan saja SAFA tetapi juga kesemua ahli gabungan," katanya.