Ketika isu tunggakan gaji masih belum selesai, Perlis ibarat jatuh ditimpa tangga apabila tidak mendapat lampu hijau beraksi di laman sendiri bagi aksi ketiga Liga Perdana.

Perkembangan itu disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), yang bakal menyaksikan Perlis bertandang ke Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Pasir Gudang bagi perlawanan yang dijadualkan Jumaat ini.

Situasi itu susulan kegagalan Perlis menyediakan kemudahan lampu limpah di Stadium Utama Kangar mengikut piawaian ditetapkan MFL.

Dua aksi sebelum ini menyaksikan Perlis tewas 2-1 di tangan UKM sebelum bangkit menewaskan UiTM 3-0.

"Perlawanan ketiga di Kangar, Perlis, kami telah menghubungi pihak JDT II untuk beraksi di Pasir Gudang kerana venue mereka masih tidak mencapai tahap piawaian MFL," kata Ketua Pegawai Operasi MFL, Kevin Ramalingam.