Impian Perlis menyunting bekas pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi, tidak menjadi kenyataan selepas pemain import itu dilaporkan memilih untuk bersama pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim 2019.

Walaupun terlepas mendapatkan khidmat Liridon, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad, tidak mahu tergesa-gesa untuk mengisi slot pemain import skuad Singa Utara itu.

Namun, masa yang semakin suntuk tidak menjejaskan keyakinan Ahmad Amizal terhadap kebolehan barisan pemain tempatan untuk bersaing dalam Liga Malaysia 2019 tanpa pemain import.

Perlis telah menilai lebih 10 pemain import setakat ini ketika persiapan pra-musim tetapi kebanyakannya gagal memenuhi kriteria yang diharapkan.

"Untuk tenaga import, kami masih belum menandatangani mana-mana pemain dan baru-baru ini kami mengakui cuba mendapatkan khidmat Liridon. Namun, dia telah menyatakan persetujuan untuk bersama satu lagi pasukan dalam Liga Malaysia.

"Kami masih mencari walaupun masa semakin suntuk. Kami akan cuba yang terbaik," katanya ketika sidang media pelantikan Matt Holland sebagai pengarah baru skuad Singa Utara.

Ahmad Amizal menjelaskan pengalaman dan kepakaran bekas pemain Swansea City FC itu menjadi pilihan tepat bagi membantu jurulatih dalam misi meletakkan Perlis di kedudukan teratas Liga Perdana musim ini.

"Disebabkan pengalaman yang ada, kepakaran dan rangkaian baik yang dimiliki Holland dengan kelab-kelab yang ada, ia menjadi faktor utama dia dipilih Perlis," tambahnya.