Lupakan sahaja hasrat untuk membuat rayuan kecuali mampu membuktikan kesahihan kewangan untuk kembali bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Itu pandangan bekas jurulatih Perlis dan bekas penolong jurulatih negara, Wan Mustaffa Wan Ismail, selepas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas dibatalkan penyertaan kelmarin.

"Syarat-syarat tersebut sudah ditetapkan.

"MFL seperti sudah bersedia lebih awal.

"Jaminan itu perlu ada bagi memastikan ia mempunyai hitam putih yang meyakinkan," katanya.

Tempoh rayuan merupakan prosedur biasa selepas sebarang keputusan dibuat.

Namun, MFL memberi bayangan PFA memiliki peluang tipis untuk meyakinkan kembali badan itu untuk menarik balik hukuman yang dikenakan.

"Perlis perlu bermula semula.

"Bagi saya, Perlis mempunyai sejarah tersendiri dalam Liga-M.

"Mereka perlu bermula lebih perlahan dalam Liga M3.

"Apabila segala-galanya sudah mula stabil, mereka akan layak dengan sendirinya," tambahnya.