Bekas pemain Swansea City, Matt Holland, dilantik sebagai pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebagai usaha mereka meraih keputusan positif dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

PFA menerusi kiriman terbaru dalam laman Facebook rasmi mereka hari ini memaklumkan jurulatih berusia 30 tahun dari Wales itu mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak dunia.

Sebelum ini, dia pernah menjadi jurulatih bola sepak di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), India, Thailand, Australia dan Malaysia.

Holland yang pernah berkhidmat sebagai jurulatih skuad projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada 2014 hingga 2015, pernah menjadi penolong jurulatih kelab Liga Satu Thailand, Port FC, pada 2015 dan kelab Liga Super India, Bengaluru FC, pada 2016.

Holland juga pernah menjadi pengarah teknikal kelab Thailand, Buriram United, pada 2016 hingga 2018.

“Beliau juga mempunyai lesen kejurulatihan 'AFC Pro License' dan diharap dengan pengalaman itu, dia dapat membantu pasukan Perlis memperoleh keputusan yang baik dalam kempen Liga-M 2019,” jelas kenyataan itu.

-- BERNAMA