Ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim, tidak menolak kemungkinan untuk mengisi kuota empat pemain import bagi memperkasakan pasukan itu menjelang Liga Perdana 2020.

"Pemain import perlu ada dalam pasukan agar kami boleh bersaing dengan pasukan lain.

"Kami akan mengambil pemain mengikut kemampuan kewangan," katanya.

Tambahnya, dia sudah berbincang dengan ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengenai pengambilan pemain import berdasarkan konsep perkongsian kerana Perak II adalah pasukan pelapis di bawah naungan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Bakar berkata Perak II berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang Kedah, N. Thanabalan, secara pinjaman.

Dia melihat Thanabalan mampu menjadi mentor dan dapat mencurahkan pengalamannya buat pemain muda di jentera serangan.

"Kami mungkin akan mendapatkan khidmat Thanabalan daripada Kedah secara pinjaman.

"Kehadirannya pastinya memanfaatkan Perak II daripada segi pengalaman, kematangan dan dapat membimbing pemain muda.

"Kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan secara lisan.

"Jika semuanya diselesaikan, Thanabalan akan bersama pasukan kami mulai esok,” ujarnya.



Editor: Muzaffar Musa