UKM 0 UiTM 0

Aksi bola sepak Liga Perdana di antara dua kelab universiti, UKM FC dan UiTM FC, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini berlangsung hambar apabila menamatkan perlawanan dengan keputusan seri tanpa jaringan.


Kegagalan UKM merekodkan sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan berterusan apabila terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan UiTM, petang tadi.

Pada awal babak pertama, kedua-kedua pasukan mempamerkan aksi kurang menyengat. Sebaik mendapat rentak, beberapa peluang dicipta namun kedua-dua pasukan gagal menemui sentuhan penyudah.

Senario itu berlarutan pada separuh masa kedua biarpun UKM dan UiTM masing-masing garang mencipta peluang jaringan.

"Hari ini kami turun dengan barisan pemain yang minimum berikutan masalah kecederaan.

"Pemain yang diberi amanah hari ini menunjukkan mereka ingin beraksi. Ini membuktikan saya mempunyai lebih banyak pilihan pemain untuk aksi selepas ini dan saya gembira kerana pemain menyambut cabaran yang saya lontarkan," kata ketua jurulatih UKM, Sulaiman Hussein.

Jurulatih UiTM, Wan Mustaffa Wan Ismail, menganggap anak buahnya telah berusaha di sebalik kesukaran menyesuaikan diri beraksi pada waktu petang.

Katanya: "Kami dah lama tidak bermain pada waktu siang dan mereka bergelut untuk menyesuaikan diri.

"Saya berasakan kami menguasai permainan tetapi tidak mencipta menterjemahkan peluang-peluang gol tersebut."

Sementara itu, kejutan berlaku di Stadium Tun Abdul Razak apabila Felda United dibelasah MISC-MIFA 3-0.

Ia kekalahan pertama The Fighters dalam kancah Liga Perdana musim ini, namun kedudukan mereka di kemuncak tetap utuh dengan kelebihan 11 mata berbanding pencabar terdekat, Felcra FC dan PDRM.


Keputusan lain:

FELDA UNITED 0 MISC-MIFA 3