Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata tindakan segelintir penyokong yang memboikot perlawanan tidak menjejaskan pasukan itu.

Bagi Jelius, ia terpulang kepada mereka kerana tiada paksaan sama ada mereka mahu datang ke stadium untuk memberikan sokongan atau tidak.

"Sudah tentu kami mengharapkan penyokong untuk datang tetapi jika mereka tidak datang, kami tidak boleh memaksa. Namun, apa yang penting adakah mereka yang datang ke stadium itu bersungguh-sungguh menyokong kami atau tidak.

"Bagi yang memboikot, itu terpulang kepada mereka, namun ia adalah perkara lain dan pasukan tidak terjejas dengan tindakan mereka," katanya.

Sebelum aksi bertemu Terengganu FC II (TFC II), malam tadi, beberapa kelab penyokong pasukan itu berkempen dalam media sosial agar penyokong pasukan berkenaan memboikot semua aksi Sabah di Stadium Likas.

Tindakan itu dipercayai kerana mereka tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan serta pembaharuan yang dilakukan pentadbiran baru Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) yang diterajui pemangku presidennya, Datuk Peter Anthony.

Bagaimanapun, lebih 2,000 penyokong pasukan hadir bagi perlawanan yang menyaksikan skuad Tambadau itu membenam TFC II 3-1.

*Kredit imej - Media SAFA