'Penyakit lama' iaitu memberikan gol mudah kepada lawan di awal permainan antara faktor Sabah kecundang 2-3 kepada Sarawak dalam aksi Liga Perdana di Stadium Negeri, di Kuching, petang semalam.

Pengendali Sabah, Jelius Ating berkata sikap sambil lewa pemain serta tidak memulakan permainan dengan baik mengakibatkan mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong walaupun menguasai hampir keseluruhan perlawanan, terutama pada babak kedua.

"Ianya sama seperti yang berlaku ketika kami bertemu dengan MISC-MIFA di Stadium Likas, tempoh hari apabila dibolosi dua gol pada awal permainan walaupun memenangi perlawanan itu.

"Saya sudah menasihati pemain supaya memulakan perlawanan dengan baik namun sikap mereka masih sama seperti aksi lalu dan kali ini kami tidak bernasib baik apabila tewas," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata, pasukannya cuba bangkit pada separuh masa kedua perlawanan namun hanya mampu menyumbat satu gol walaupun memiliki banyak peluang baik.

"Kalau dilihat, kami menguasai hampir keseluruhan permainan pada separuh masa kedua dan bola hanya tertumpu di kawasan lawan, namun beberapa peluang yang kami miliki gagal membolosi gawang Sarawak.

"Cubaan Randy (Baruh) dan Hamran (Peter) masing-masing terkena tiang dan palang, begitu juga percubaan (Hector Omar) Ramos diselamatkan pertahanan lawan walaupun penjaga gol telah tertewas... kami kurang bernasib baik," katanya.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata, beliau bukanlah mahu menyalahkan anak buahnya 100 peratus namun beliau mahu mereka sedar dan tidak mengulangi kesilapan itu di perlawanan akan datang.

"Mereka (pemain) sebenarnya boleh bermain dengan lebih baik berbanding semalam, saya percaya dengan mereka dan kami perlu atasi kelemahan yang ada.

"Sebagai jurulatih, saya juga bertanggung jawab dengan kekalahan ini namun kami perlu fokus untuk perlawanan akan datang, kami masih ada empat perlawanan untuk memperbaiki kedudukan," katanya.

Pada aksi petang semalam, Sarawak mendahului 3-1 pada separuh masa pertama hasil dua jaringan bekas pemain Sabah, Bobby Gonzales (minit ke-15 dan 27) dan Mateo Roskam (minit ke-36) manakala gol Sabah dijaringkan oleh Maxsius Musa pada minit ke-25.

Usaha Sabah untuk mencari gol bagi mengatasi Sarawak pada babak kedua tidak berjaya walaupun memiliki beberapa peluang menarik dan hanya mampu menambah satu gol lagi pada minit ke-67 menerusi Ramos untuk akur dengan kekalahan 3-2.