Nasib Terengganu FC (TFC) II bagaikan telur di hujung tanduk selepas bergelut untuk keluar dari tangga tercorot Liga Perdana sehingga menimbulkan keresahan pengendalinya, Mustaffa Kamal Abdul Wahab.

Ditemui selepas terikat 1-1 dengan Pulau Pinang, malam tadi, Mustaffa Kamal menyifatkan skuad bimbingannya seharusnya muncul pemenang, namun dikecewakan ketumpulan penyudah.

Menurutnya, sekurang-kurangnya empat peluang terbaik dimiliki tuan rumah dalam separuh masa pertama dan kesempatan itu diambil Pulau Pinang untuk mengejutkan TFC II.

"Pemain-pemain menguasai babak pertama dengan baik dan saya berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan.

"Namun, semuanya berubah dalam 45 minit kedua dengan pemain lawan begitu mudah menggelecek tiga pemain kami dan mencipta jaringan," ujarnya.

Dengan hanya kemenangan disasarkan dalam perlawanan itu, Mustaffa Kamal mengakui bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya pembaharuan dimahukan pihak pengurusan untuk membawa impak positif kepada pasukan itu.

Berbaki enam perlawanan dan pendahulu liga, Felda United, menjadi lawan seterusnya, masa seperti tidak menyebelahi mereka dan Mustaffa Kamal menegaskan sudah memberikan yang terbaik dengan barisan sedia ada selaku kelab sokongan kepada TFC.

"Sebagai ketua jurulatih, saya perlu bertanggungjawab serta menerima apa saja keputusan dibuat pihak pengurusan," ujarnya.