"Peletakan jawatan pengerusi Felcra tidak akan menjejaskan Felcra FC". Itu jaminan Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad, berhubung kenyataan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin untuk melepaskan jawatan pengerusi Felcra, baru baru ini.

Meskipun mengesahkan Bung Mokhtar akan melepaskan jawatan, Hazian turut menegaskan bahawa Felcra FC akan beroperasi seperti biasa dan akan terus bersaing dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Bung Mokhtar sebelum ini dilaporkan akan meletak jawatan pada penghujung bulan ini.

"Saya dimaklumkan kelab ini akan diteruskan di bawah pengurusan terbaru. Kami akan tengok apa pengurusan baru tawarkan untuk menambah baik pasukan Felcra pada masa depan," kata Hazian.

Perubahan pucuk pimpinan negara dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pasti menimbulkan persoalan mengenai kelab bola sepak yang dimiliki syarikat milik penuh kerajaan seperti Felcra.

Bagaimanapun, bagi Hazian, kewujudan kelab itu perlu dilihat merentasi faktor politik negara.

"Politik dan bola sepak adalah perkara yang berbeza. Siapa pun yang dibawa masuk oleh pihak pengurusan, bola sepak ini perlu diteruskan demi anak-anak muda dan rakyat Malaysia," ujarnya lagi.