Penyerang PJ City FC, Safee Sali, mengibaratkan tempoh tiga bulannya bersama Perlis umpama mimpi ngeri dan paling buruk sepanjang dua dekad bergelar pemain profesional.

Selepas tiga perlawanan bersama Perlis, tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan oleh pihak pengurusan memaksa bekas penyerang PKNS itu mengambil keputusan untuk angkat kaki.

"Ia merupakan pengalaman yang buruk dalam memilih pasukan dan ia adalah pengajaran buat saya," kata Safee.

"Saya perlu mencari jalan untuk bekerjasama dengan bekas pengendali saya, K. Devan, bersama PJ City."

Safee tidak menyangka ketika kariernya berada di kemuncak, dia diduga dengan situasi yang dialami bersama Perlis.

Anak jati Selangor itu melihat dirinya lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan barisan pemain muda Perlis yang tiada pilihan dan terpaksa menelan hakikat sama ada terus bersama Perlis atau tiada pasukan sepanjang musim ini.

"Perasaan sangat sedih kerana bukan senang untuk mendapatkan pasukan untuk saingan tahun ini," kata penjaga gol Perlis, Shahril Saa'ri.

"Kami berharap perbincangan dapat dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian."

"Kalau kita sudah berjanji tetapi tidak menepati, menipu orang, sudah rasa tidak tenteram. Macam orang ini boleh wujud? Bukan hanya pemain tetapi seluruh Malaysia telah tertipu dengan janji yang telah diberikan sebelum ini," kata pertahanan Perlis, Amiridzwan Taj Tajuddin.

"Saya sangat terkilan dengan apa yang telah diperlakukan kepada pemain-pemain," katanya terhadap kepemimpinan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Bersama PJ City, Safee kembali bergandingan dengan ketua jurulatih, K. Devan, dan berhasrat untuk mengulangi kejayaan yang sama ketika bersama Selangor satu ketika dulu.

Pencapaian lima piala bagi tempoh tiga tahun yang dicipta Safee dan Devan satu ketika dulu menjadi penanda aras buat PJ City kini.

"Jika kami mula memenangi perlawanan, PJ City mampu mencipta sesuatu. Tetapi kami menyedari kebolehan pencabar utama saingan Liga Super tetapi kami mampu melepasi sasaran yang telah ditetapkan," kata Devan.