Pengadil cap ayam, kata Ismail

Oleh Staff Writer 25 Mei 2019 13756
Pengadil cap ayam, kata Ismail
Pengadil cap ayam, kata ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, yang membidas mutu pengadilan lemah dalam perlawanan Liga Perdana di antara pasukannya dan Selangor United di Stadium UiTM Shah Alam, semalam.

"Tiada kelas langsung pengadil pada hari ini.

"Saya tidak tahu macam mana FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) boleh meletakkan dia dalam Liga Perdana.

"Macam-macam keputusan yang salah dilakukan.

"Perkara itu menimbulkan persoalan buat saya," katanya yang berang dengan pengadil, Muhammad Nasruddin Muhammad Tamrin.

Bekas pengendali Sime Darby FC itu mendakwa beberapa keputusan Nasruddin tidak tepat dan merencatkan aksi pemain di atas padang.

Kritikan terbuka Ismail itu pasti akan mengundang masalah kepadanya, namun dia sama sekali enggan mempedulikan hukuman yang bakal menanti.

"Saya tidak peduli, saya tidak kisah.

"Ini realitinya.

"Saya ada rakaman video dan sebagainya.

"Kita bercakap degan fakta.

"Pengadil mendatangkan ketegangan buat pemain dan itulah yang berlaku.

"Kalah dan menang adat permainan, namun apabila pengadil mendatangkan tekanan buat pemain, pasukan akan menjadi huru-hara.

"Itu yang membuatkan permainan menjadi merudum," katanya.

Sementara itu, kemenangan 2-1 ke atas UiTM FC membolehkan Selangor United mengakhiri kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan.

Ia juga menghidupkan peluang skuad bimbingan Talib Sulaiman itu untuk kembali bersaing dalam kelompok lima pasukan teratas Liga Perdana.

"Kemenangan malam ini meletakkan Selangor United di kedudukan yang baik.

"Liga masih berbaki tujuh perlawanan dan kalau momentum itu dapat dikekalkan, sudah pasti pasukan ini akan berada dalam kelompok lima terbaik," kata Talib.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen