Pemain import baru Sabah dari Jepun, Keisuke Ogawa, bakal membuat penampilan pertama apabila pasukan itu melayan kunjungan UKM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, berkata segala proses untuk membolehkan pemain berusia 31 tahun itu beraksi esok berjalan lancar dan dia dijangka bakal memperkuatkan lagi bahagian tengah skuad kendaliannya.

"Kami bersyukur kerana menambah seorang lagi pemain import untuk perlawanan malam esok. Saya harap ia dapat menambahkan lagi kekuatan kami, terutama di bahagian tengah.

"Dia (Ogawa) semakin menyesuaikan diri dengan pasukan dan saya nampak dia sudah semakin serasi dengan pemain-pemain yang ada walaupun hanya menyertai latihan kira-kira seminggu lalu," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 47 tahun itu memberitahu seorang lagi pemain yang baru diikatnya, Rodoljub Paunovic, tidak akan beraksi malam esok kerana akan melangsungkan perkahwinannya di Serbia pada Ahad ini.

Jelius akan membuat sedikit perubahan terhadap kesebelasan utamanya berikutan kemasukan Ogawa serta kecederaan yang dialami pemain pertahanan, Jenius Karib.

"Selain itu, Sabri Sahar turut mengalami sedikit kecederaan, namun kami akan tengok nanti sama ada dia sempat cergas untuk aksi esok atau tidak," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jelius berharap pasukannya itu akan dapat menamatkan badi tanpa kemenangan sejak enam perlawanan lalu.

"Sejak beberapa perlawanan lalu, kami dibolosi agak banyak dan kami perlu perbaiki kelemahan ini sekiranya mahu mencatat kemenangan.

"Saya juga harap pemain akan mengambil peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk memperoleh kemenangan yang kami cari sejak enam perlawanan lalu," katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Rendy Robson Rining sebagai benteng terakhir pasukan dengan dibantu pemain pertahanan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Randy Baruh Samson dan Maffry Balang.

Ogawa pula dijangka mengemudi bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa dan sama ada Sabari Sahar atau Umareng Bachok.

Penyerang dari Puerto Rico, Hector Omar Ramos, sekali lagi akan menjadi pemburu jaringan buat Sabah dengan dibantu penyerang tempatan, Rahman Shah Marajeh.