Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, menjelaskan pembaharuan yang dibuat pihak pengurusan persatuan itu adalah demi menghidupkan semula pasukan bola sepak negeri itu.

Katanya, apa yang paling penting adalah bagi memastikan pasukan negeri itu diurus dengan baik, termasuk soal gaji, insentif dan imbuhan.

"Kita semua tahu kedudukan kami (pasukan Sabah) sebelum ini tidak begitu baik kerana banyak masalah yang timbul, termasuk masalah kewangan, sehingga menyusahkan pemain serta pasukan dan masalah ini berjaya diselesaikan selepas pengurusan baru masuk (mengambil alih pentadbiran SAFA).

"Sudah pasti kami tidak boleh memuaskan hati semua penyokong kerana bukan semua mempunyai pandangan yang sama.

"Saya percaya ada sesetengah penyokong yang masih menyokong kerajaan atau pasukan lama, namun kami sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan mereka sekiranya mahu bersama-sama dengan kami untuk memajukan bola sepak negeri ini," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kelab Penyokong Tambadau Sabah di Kota Kinabalu, malam tadi.

Baru-baru ini, beberapa kelab penyokong Sabah mengadakan kempen bagi memboikot aksi pasukan itu di Stadium Likas.

Tindakan itu dipercayai diambil selepas mereka tidak berpuas hati dengan beberapa pembaharuan yang dilakukan SAFA, termasuk berkaitan maskot pasukan, warna jersi serta beberapa peraturan baru yang dilaksanakan.

Terdahulu, Pengerusi Kelab Penyokong Tambadau Sabah, Dr. Liawas Barukang, berkata kelab yang baru ditubuhkan itu kini mempunyai kira-kira 800 ahli dan dijangka bertambah dalam masa terdekat.

Tujuan penubuhan kelab penyokong itu, bagaimanapun, bukanlah untuk membeza-bezakan mereka dengan kelab-kelab penyokong yang lain.

"Hasrat kami semata-mata untuk menyokong pasukan Sabah, kami tidak pernah membeza-bezakan, apatah lagi memusuhi kelab penyokong lain.

"Tujuan kita semua adalah sama, iaitu menyokong pasukan kesayangan kita," katanya.

Dalam pada itu, Peter mengalu-alukan penubuhan kelab penyokong itu dan berkata mereka yang menjadi ahli bakal mendapat beberapa keistimewaan.

"Antara kelebihan menjadi ahli kelab ini termasuk pemberian pas bermusim kepada ahli yang mendaftar lebih awal dan mereka juga berpeluang untuk 'terbang' bagi menyaksikan perlawanan di gelanggang lawan," katanya.