Pemain skuad UKM FC mula gelisah memikirkan hala tuju mereka pada musim depan apabila kelab itu belum mengesahkan penyertaan dalam Liga Perdana 2019.

UKM gagal untuk mengesahkan pendaftaran musim depan yang sepatutnya dimuktamadkan semalam.

Sebaliknya, mereka membuat permohonan penangguhan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sehingga 29 November ini, namun MFL menolak permohonan itu, sebaliknya memberikan ruang buat UKM untuk menghantar rayuan.

Situasi itu cukup menggusarkan kerana setakat ini, beberapa pasukan sudahpun sah menarik diri daripada kancah liga tempatan bagi musim 2019 seperti Felcra FC dan empat pasukan dalam Piala FAM yang berdepan masalah kewangan.

Bagi barisan pemain UKM FC, mereka masih menaruh harapan agar pihak pengurusan tertinggi mampu memberi kata putus secepat mungkin supaya mereka dapat membuat perancangan peribadi.

"Sudah tentu saya risau sekiranya UKM FC menarik diri, tambahan pula saya merupakan penuntut.

"Lagipun, kami sudah berjuang selama lima tahun untuk berada di tahap seperti ini.

"Oleh itu, saya agak terkilan sekiranya UKM menarik diri.

"Apapun, saya menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan tertinggi untuk menentukan kedudukan kami," kata salah seorang pemainnya, Wan Mohammed Afiq.

Malah, pemain sedia ada sanggup berkorban bagi memastikan kelangsungan pasukan UKM musim depan.

"Saya mengharapkan keputusan yang positif berdasarkan pengalaman sebelum ini.

"Kami sentiasa menunggu pada saat-saat akhir dan saya mengharapkan ia berulang," kata seorang lagi pemain, Asnan Ahmad.