Selepas tujuh perlawanan tanpa sebarang kemenangan, pengendali Sabah, Jelius Ating memberi amaran kepada anak buahnya supaya sedar dan segera bangkit sekiranya mahu pasukan itu kembali ke landasan betul dalam mencapai misi mereka musim ini.

Jurulatih berusia 47 tahun itu menjelaskan prestasi pemain sepatutnya terus meningkat ketika saingan liga semakin sengit, namun apa yang berlaku terhadap skuad kendaliannya itu adalah sebaliknya.

Katanya lagi, pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu semakin menjadi seperti musim-musim lalu, iaitu terpaksa bergelut dalam pusingan kedua liga walaupun pada awal musim mereka mencatat kedudukan lebih baik.

"Saya banyak kali mengingatkan mereka supaya tidak mudah cepat puas hati dan terus menunjukkan peningkatan sehingga tamat musim ini, namun apa yang saya nampak prestasi mereka semakin menurun dan inilah yang berlaku seperti musim-musim sebelum ini.

"Beberapa jurulatih yang mengendalikan pasukan ini sebelum ini juga menghadapi situasi sama. Oleh sebab itu, saya mahu pemain mula sedar, adakah mereka mahu perkara berulang seperti sebelum ini atau mereka mahu menyumbang sesuatu kepada pasukan yang boleh menggembirakan semua orang, khususnya penyokong," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, badi tanpa kemenangan Sabah berterusan kepada tujuh perlawanan selepas tewas 1-3 kepada UKM FC dan ia juga kekalahan pertama mereka di gelanggang sendiri, musim ini.

Jelius berkata, beliau sedia bertanggungjawab sekiranya pasukan itu gagal pada musim ini, namun menegaskan perjuangan mereka masih belum selesai kerana saingan liga masih sangat terbuka.

"Sasaran saya untuk pasukan ini masih kekal, iaitu layak beraksi dalam Piala Malaysia dan saya juga berharap kami mampu merebut tempat untuk beraksi dalam Liga Super, musim depan.

"Bagaimanapun, perkara ini hanya akan menjadi kenyataan jika pemain mula sedar. Saya juga tidak akan putus asa untuk terus membentuk pasukan ini supaya menjadi lebih mantap," katanya.

Kekalahan malam tadi menyaksikan Sabah masih kekal di tangga kelima dengan 15 mata hasil daripada tiga kemenangan, enam seri dan empat kekalahan.

Mereka kini juga ketinggalan tujuh mata kepada MISC-MIFA yang berada di kedudukan kedua, iaitu salah satu kedudukan yang bakal menempah tiket ke Liga Super musim depan.

Bagaimanapun, cabaran pasukan itu bukanlah mudah kerana dua lagi pasukan, iaitu Felcra FC dan PDRM, juga masing-masing mendahului mereka dengan tujuh mata di kedudukan ketiga serta keempat.

Kedudukan Sabah itu juga masih belum selamat untuk layak ke Piala Malaysia kerana tiga lagi pasukan di bawah mereka turut mengumpul 15 mata dan sekiranya mereka masih gagal mengutip mata yang diharapkan, pasukan itu mungkin akan jatuh lebih jauh sehingga ke kelompok bawahan liga.