Sasaran untuk beraksi dalam Piala Malaysia menjadi keutamaan buat beberapa pasukan yang berada dalam kelompok pertengahan Liga Perdana dengan saingan itu semakin menghampiri penghujungnya.

Perebutan mengejar slot ke Piala Malaysia masih lagi terbuka biarpun hanya berbaki empat perlawanan.

Hanya lima slot ditawarkan untuk pasukan daripada Liga Perdana dan PDRM, yang bermula goyah pada awal musim ini, berpeluang untuk mencipta kejutan selepas meraih tiga mata berharga susulan menumbangkan Selangor United 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.

Sebagai rekod, kali terakhir PDRM beraksi dalam Piala Malaysia ialah dalam edisi 2016.

"Memang sasaran kami sekurang-kurangnya untuk layak ke Piala Malaysia.

"Dalam perlawanan-perlawanan akan datang, kami tidak tahu bagaimana keputusan yang akan diperoleh pasukan-pasukan lain.

"Pelbagai perkara boleh terjadi dan kemenangan ini mungkin akan melayakkan kami ke Piala Malaysia.

"Jadi, ia (kemenangan) penting untuk kami," kata ketua jurulatihnya, E. Elavarasan.

Sementara itu, peluang pasukan baru, Selangor United, yang dahulunya berada dalam kelompok tiga teratas, semakin tipis selepas terus keciciran mata.

Bagaimanapun, sekiranya Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Terengganu FC II (TFC II) menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik, pasukan yang berada di bawah mereka masih berpeluang untuk layak memandangkan kedua-dua pasukan itu memegang status sebagai pasukan sokongan kepada pasukan utama masing-masing dan tidak layak untuk bertanding dalam Piala Malaysia.

"Berdasarkan perkiraan saya, jika kami memenangi dua perlawanan lagi, Insya-Allah kami akan berada dalam kelompok tujuh teratas.

"Kami sedar JDT II dan TFC II tidak akan beraksi, jadi inilah peluang yang perlu direbut Selangor United.

"Kami akan mencuba sedaya-upaya dalam baki empat perlawanan terakhir untuk mendapatkan slot yang ada pada tahun ini," kata ketua jurulatih Selangor United, Abdul Talib Sulaiman.