Pengurus PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, menegaskan pemilihan The Cops ke kancah Liga Super 2020 bukan atas "tiket percuma" walaupun kejayaan mereka itu menyusul hanya selepas Pulau Pinang dipalit isu pemotongan mata.

Tuah memihak PDRM apabila dinaikkan ke Liga Super musim depan ketika pada awalnya mereka gagal dalam misi merebut slot ke kancah utama Liga Malaysia itu.

Skuad bimbingan E. Elavarasan itu tewas 0-1 kepada Pulau Pinang dalam aksi terakhir Liga Perdana kelmarin untuk menamatkan saingan di tangga keempat liga.

Namun, tidak sampai 24 jam sejurus kekalahan itu, PDRM diberikan perkhabaran gembira apabila Pulau Pinang dikenakan hukuman pemotongan enam mata serta-merta.

Keputusan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas Pulau Pinang terlibat dengan masalah tunggakan gaji membabitkan bekas import, Reinaldo Lobo.

"Mungkin rezeki di pihak PDRM. Saya juga mahukan kemenangan, namun tidak tercapai. Kami sangat bernasib baik apabila beberapa pasukan lain turut gagal meraih kemenangan," kata Kamarul Ariffin.

Penolakan enam mata menyaksikan PDRM melonjak ke tangga ketiga manakala Pulau Pinang jatuh ke tangga ketujuh berdasarkan perkiraan semula kedudukan Liga Perdana musim ini.

"Perkataan ihsan itu tidak seharusnya timbul tetapi mungkin rezeki di pihak PDRM. Pihak FAP tahu lebih awal mengenai perkara ini (hukuman) dan sepatutnya memaklumkan, bukan meraikan kerana di situ menimbulkan satu manipulasi untuk memburukkan keadaan," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, mengakui PDRM perlu melengkapkan permohonan bagi mendapatkan lesen kelab sejurus dinaikkan pangkat ke Liga Super.

Pelesenan kelab adalah antara pra-syarat yang ditetapkan MFL dan sudah pasti permohonan untuk pertandingan Liga Super lebih ketat berbanding Liga Perdana.

"Syarat yang ditetapkan bagi saingan Liga Super adalah lebih ketat berbanding Liga Perdana. Bagaimanapun, permohonan pasukan Liga Perdana yang layak ke Liga Super bagi musim 2020 diringankan sebanyak 80 peratus dan mereka diberikan masa untuk menyediakan setiap dokumen yang diperlukan," katanya.

Kevin turut mendedahkan Sarawak diberi 'talian hayat' untuk kekal bersaing dalam Liga Perdana musim depan menerusi aksi play-off bertemu naib juara Liga M3 selepas kempen Piala Malaysia.

Untuk rekod, skuad Ngap Sayot itu menamatkan kempen Liga Perdana di tangga ke-11 musim ini.