"Kami dan Andrezinho 'bercerai' kerana faktor taktikal," kata pengurus PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, yang menafikan keputusan menggugurkan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu kerana masalah disiplin.

PDRM membuat keputusan mengejutkan apabila melepaskan Andrenzinho ketika pemain tengah dari Brazil itu menyerlah dalam Liga Perdana, musim ini.

Malah, Andrezinho juga bukanlah asing buat PDRM memandangkan dia pernah mewakili skuad Sang Saka Biru itu pada 2016.

Bagi menjawab segala persoalan yang timbul susulan tindakan itu, Kamarul Ariffin menjelaskan corak permainan Andrezinho tidak lagi bersesuaian dengan kehendak pasukannya.

"Ia lebih kepada taktikal pasukan dan untuk menambahkan sengat di bahagian serangan.

"Bukan saya kata Andre tidak bagus tetapi ia untuk taktikal terkini pasukan di mana kami lebih memerlukan (pemain) di bahagian serangan," katanya.

Sebagai pengganti, PDRM telah menandatangani bekas penjaring terbanyak Liga Bahrain, Uche Agba, bagi baki saingan musim ini.

"Dia merupakan rakan sepasukan Ifedayo (Olusegun) dalam Liga Bahrain.

"Saya amat yakin dan berpuas hati dengan apa yang dia persembahkan dalam sesi latihan kami.

"Saya yakin dia mampu memberikan impak yang besar kepada pasukan," tambahnya.