PDRM 3 MISC-MIFA 2

Kebangkitan MISC-MIFA ternyata sudah terlambat apabila kesudahannya terpaksa akur dengan kekalahan 3-2 kepada PDRM dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium MBPJ, malam ini.


Corak permainan The Cops nyata berkesan apabila menemui gol seawal minit keenam menerusi Shim Un-seob.

Bagaimanapun, mereka terpaksa akur dengan asakan lawan setelah Bae Beom-geun berjaya menjaringkan gol untuk mengimbangi perlawanan pada minit ke-42.

Tidak lama selepas memulakan separuh masa kedua, Fauzi Abdul Majid menjadi pemisah apabila menyudahkan jaringan untuk PDRM pada minit ke-54 sebelum Baqiuddin Shamsudin menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-84.

Usaha lewat MISC-MIFA akhirnya membuahkan hasil menerusi jaringan Satish Krishnan, namun kebangkitan mereka sudah terlalu lewat untuk mengejar kedudukan.

Kemenangan itu membolehkan PDRM merampas kedudukan MISC-MIFA di tangga keenam dengan perbezaan satu mata.

Sementara itu, perlawanan di antara Pulau Pinang dan Terengganu II terikat tanpa jaringan.

Dalam aksi yang berlangsung pada petang tadi pula, UKM FC memusnahkan rekod tanpa kalah Sabah dengan kemenangan 3-2 di Stadium Selayang.