Pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia sebelum ini menyaksikan pemain kelahiran Brazil, Andrezinho, kembali menjadi sandaran utama PDRM FA untuk menghadapi kempen Liga Perdana musim 2019.

Andrezinho bukanlah nama asing buat PDRM kerana pernah mewakili skuad Sang Saka Biru pada musim 2016.

Dia kemudian berhijrah ke Kuantan FA, namun dibelenggu dengan masalah tunggakan gaji selain pembubaran pasukan berkenaan.

Menurut pengurus pasukan PDRM, Kamarul Ariffin, khidmat pemain berusia 32 tahun itu dapat membantu pasukan berkenaan dalam misi memburu dua kedudukan teratas Liga Perdana musim ini.

"Andrezinho sememangnya berada dalam radar kami.

"Selebihnya terpulang kepada jurulatih kerana saya hanya memudahkan cara.

"Saya tidak mahu masuk campur dalam soal teknikal pasukan. Saya serahkan 100 peratus tanggungjawab kepada jurulatih, Fauzi Pilus," katanya dalam majlis menandatangani kontrak membabitkan pemain import PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.

Selain Andrezinho, PDRM turut mendapatkan khidmat Lee Chang Hoon dari Korea Selatan yang pernah mewakili Melaka United musim lalu di samping pemain Montenegro, Benjamin Redzovic.

Argzim Redzovic yang merupakan abang kepada Benjamin turut dikekalkan bersama PDRM selama semusim lagi.

Dalam perkembangan lain, Kamarul turut menjelaskan pengurusan PDRM sedang mempertimbangkan gelanggang alternatif walaupun sebelum ini Stadium Tanjung Malim menjadi pilihan sebagai venue tuan rumah.

"Pihak pengurusan sedang berusaha mendapatkan kebenaran untuk menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"MBPJ dianggap gelanggang bertuah kami kerana di situlah kami layak ke Liga Super buat pertama kalinya," katanya.