Pengurus pasukan PDRM, Kamarul Ariffin, memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha sebaik mungkin bagi melunaskan tunggakan gaji membabitkan 12 bekas pemain pasukan berkenaan.

Di sebalik persiapan menghadapi musim baru Liga Malaysia (Liga M), PDRM masih lagi dibelenggu isu tunggakan gaji berjumlah RM522,000.

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Status, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, tunggakan itu perlu diselesaikan sebelum 5 Januari lalu.

Begitupun, Nadi Arena dimaklumkan perkara tersebut masih lagi belum selesai, namun Kamarul berkata ia tetap menjadi keutamaan pengurusan pasukan itu sebelum saingan Liga Perdana membuka tirai, 1 Februari nanti.

Beliau yang baru dilantik sebagai pengurus untuk musim 2019 sedang mengadakan perbincangan dengan pengurusan lama mengenai perkara itu.

"Biar pihak pengurusan yang tentukan pasal hutang lama itu tetapi saya memberi jaminan, ia akan diselesaikan dalam masa terdekat melalui beberapa kaedah.

"Tetapi, saya bukanlah individu yang berhak untuk mengulas mengenai pengurusan lama kerana saya dilantik untuk menguruskan skuad 2019," kata Kamarul.

Andai terus gagal melunaskan tunggakan berkenaan, PDRM mungkin kehilangan sebahagian daripada geran tahunan RM1 juta yang diberikan oleh pentadbir liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).