PDRM gagal teruskan rentak kemenangan

Oleh Bernama 1 Mei 2018 186
PDRM gagal teruskan rentak kemenangan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal meneruskan rentak kemenangan apabila terikat tanpa jaringan ketika melayani kunjungan Terengganu FC II dalam aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan ketua jurulatih, Zulhamizan Zakaria, itu gagal meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas cemerlang menewaskan MISC-MIFA 2-1, diikuti kemenangan 3-1 ke atas UiTM FC dalam aksi liga sebelum ini.

Terengganu FC II yang hanya mengutip satu mata daripada tiga aksi sebelum ini, bermula garang apabila terlebih dahulu menguji benteng pertahanan PDRM menerusi percubaan Muhammad Shahrin Sapien pada minit kelapan tetapi gagal menewaskan penjaga gol, Mohd Sheril Anuar Saini.

Pemain import dari Korea Selatan, Woonsub Sim, nyaris meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-11 dan 22, namun kedua-dua rembatan derasnya bijak dibaca penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Di penghujung babak pertama permainan, penyerang dari Amerika Syarikat, Andrew Anderson Jean-Baptiste, gagal memanfaatkan serangan balas tiga lawan dua apabila mengambil keputusan melepaskan rembatan yang berjaya ditampan keluar Mohd Sheril untuk menjadikan kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung babak  kedua menyaksikan PDRM mendominasi permainan dengan Sim sekali lagi hampir memecah kebuntuan menerusi rembatan kaki kirinya yang hanya sedikit melewati tiang gol pasukan pelawat.

PDRM kemudian membawa masuk pemain gantian, Mohd Kamal Rodiarjat Md Ali dan Muhammad Nazri Mohd Kamal, dalam usaha memburu gol kemenangan, namun kekebalan benteng pertahanan pasukan pelawat berjaya menidakkan setiap gerakan, sekali gus keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat permainan.

Satu mata yang diraih menyaksikan PDRM kini berada di kedudukan keempat liga dengan 12 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan, sementara Terengganu FC II kekal di tangga kesembilan dengan sembilan mata.

-- BERNAMA

Imej: Asiana

Tentang Penulis

Bernama

Komen