Jurulatih PDRM, E. Elavarasan, menegaskan tidak akan terburu-buru menggantikan pemain import dalam jendela perpindahan kedua ini.

Pendirian itu dijelaskan walaupun kehadiran pemain Brazil, Taura Fereira Dos Santos, kelmarin untuk sesi pemilihan bersama skuad Sang Saka Biru.

Kelibat Andrezinho menjadi perhatian dalam kekalahan PDRM kepada Terengganu FC (TFC) II, malam tadi, selepas dia dikeluarkan pada babak kedua ekoran prestasi hambar.

Namun, Elavarasan memilih untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan menggugurkan mana-mana pemain.

"Sudah beberapa perlawanan Andrezinho dikeluarkan kerana gagal berfungsi dan tidak menjadi.

"Belum pasti lagi (penggantian import), saya hanya mencuba (Dos Santos).

"Hanya tinggal tujuh atau lapan perlawanan dan kami perlu bijak menilai pelaburan pasukan. Sebab itu, kami masih bersabar," ujarnya.

PDRM tumpas 0-1 kepada TFC II hasil jaringan pertahanan lawan, Serhii Andrieiev, pada minit ke-43, sekali gus menyukarkan misi meraih tempat dua teratas memasuki aksi ke-13.

Menurut Elavarasan, rentak kemenangan PDRM disekat kekentalan barisan pertahanan TFC II sehingga menenggelamkan jentera serangannya.

"Kalau kami menang malam ini, mungkin peluang dua teratas cerah tapi kami belum berputus asa," tambah bekas jurulatih Terengganu itu.