Polis Diraja Malaysia (PDRM) memungut tiga mata berharga dalam saingan Liga Perdana apabila menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

PDRM turun dengan misi mendapatkan tiga mata dalam usaha untuk terus mencabar kedudukan dua tangga teratas liga dalam usaha meraih tiket ke Liga Super musim depa, sementara Sarawak mahu mengukuhkan kedudukan dalam Liga Perdana.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan untuk turun dengan corak permainan berhati-hati.

The Cops terlebih dulu menemui sasaran gol pada minit ke-33 apabila Shahurain Abu Samah bijak melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melakukan tindakan penyudah.

Tersentak dengan gol itu, Ngap Sayot cuba bangkit dengan menggandakan asakan ke kawasan PDRM.

Namun, benteng PDRM yang diterajui Kamal Rodiarjat kekal ampuh.

Memasuki babak kedua, Sarawak meneruskan usaha meraih jaringan penyamaan.

Pengendali Sarawak, Ian Gillian, memasukkan penyerang import, Mateo Roskam, dalam usaha menajamkan jentera serangan.

Usaha pelawat hampir berhasil apabila Bobby Gonzales meraih gol pada minit ke-62, namun jaringan berkenaan dibatalkan pengadil kerana bekas penyerang kebangsaan itu berada di kedudukan ofsaid.

PDRM kemudian kembali mengawal permainan, namun gagal menambah jaringan.

"Pemain saya bergelut untuk mengekalkan rentak. Apapun, saya telah mengingatkan pemain bahawa apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.

"Mereka harus fokus dan bekerjasama sebagai pasukan. Alhamdulillah kami meraih kemenangan pada malam ini (tadi), " kata ketua jurulatih PDRM, Zulhamizan Zakaria.

Menurut Gillian pula, pelawat seharusnya menyalahkan diri sendiri atas kegagalan malam tadi dengan berkata: "Pihak lawan memperolehi satu gol di sebalik deretan peluang terhidang yang dimiliki kami.

"Salah satu daripada percubaan kami jelas telah melintasi garisan gol.

"Amat mengecewakan kerana kami turut memiliki peluang yang menggegar palang selain kesempatan satu lawan satu berdepan penjaga gol lawan.

"Lima peluang keemasan terhasil pada malam ini," keluhnya.