Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menafikan dakwaan wujud kekangan daripada persatuan itu untuk juara Piala FAM, Terengganu City (TCFC), beraksi dalam Liga Perdana, musim depan.

Menurut Setiausaha Eksekutif PBSNT, Mohd Syahrizan Mohd Zain, hanya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berkuasa menentukan penglibatan pasukan dalam kejohanan anjuran mereka.

Malah, keputusan MFL dibuat tanpa campur tangan serta komplot PBSNT yang dikatakan menarik balik sokongan kepada TCFC untuk bertanding pada musim 2019.

"PBSNT tidak pernah membuat tuduhan atau tuntutan kepada FAM berkenaan isu kewangan TCFC. Namun, PBSNT ada beberapa kali berhubung dengan setiausaha TCFC untuk memaklumkan keputusan FAM.

"Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Nerus (PBSDKN) yang menarik lesen TCFC dan bagi menghormati PBSDKN selaku ahli gabungan PBSNT, kami memanjangkan surat tersebut kepada FAM sebelum final Piala FAM, tempoh hari," jelasnya dalam satu kenyataan.

Turut dimaklumkan ialah hutang TCFC dalam rekod PBSNT adalah berjumlah RM868,736 yang meliputi insurans, tunggakan dan pampasan gaji seorang pegawai serta beberapa pemain bagi musim 2017.

Tambah Mohd Syahrizan, persoalan sama ada pasukan TFC II akan ditawarkan beraksi dalam Liga Perdana atau tidak belum diputuskan, justeru PBSNT menerima apa jua keputusan yang akan dibuat MFL.

"Tidak timbul isu kami menghalang TCFC bermain dalam Liga Perdana seperti yang digembar-gemburkan. Sebelum ini, MFL pernah menurunkan (pangkat) Felda United, pemotongan mata kepada Kelantan dan T-Team selain mengenakan kelulusan lesen yang ketat.

"Pemilihan TFC II atau mana-mana pasukan wajar dipertimbangkan, namun keputusan bergantung kepada Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL kerana ini bidang kuasa mereka," katanya lagi.