Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus mengambil langkah proaktif untuk menjayakan misi dan visi Peta Hala Tuju F:30 apabila turun padang bertemu ahli gabungan dan yang terbaru, bersama Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM).

Delegasi FAM yang diketuai presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, melakukan kunjungan hormat ke atas PBMM di Akademi Merah Kuning, Shah Alam, hari ini.

Ia bertujuan untuk menerangkan secara jelas dan terperinci mengenai perancangan masa depan badan induk itu menerusi Peta Hala Tuju F:30.

Langkah itu juga selari dengan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) yang turut dilancarkan FAM tahun lalu.

"Program ini khusus untuk ahli gabungan.

"Ia tidak memerlukan ahli gabungan untuk mengeluarkan belanja dalam usaha FAM memberikan khidmat nasihat dan tunjuk ajar untuk penambaikan persatuan dan pertandingan di Malaysia.

"FAM memberi penerangan kepada persatuan bagi tujuan penambahbaikan dan dalam masa yang sama, menjalin hubungan baik dengan PBMM," kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Ini adalah kunjungan hormat kelima FAM terhadap ahli gabungan selepas Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

Selepas ini, mereka akan menjelajah ke negeri-negeri lain secara berperingkat.