Penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic, sah menyarung semula jersi Sabah selepas menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), hari ini.

Pemain yang meledak sembilan gol walaupun hanya beraksi setengah musim dengan Sang Badak musim lalu itu menandatangani kontrak berkenaan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dia, bagaimanapun, akan berlepas semula ke Serbia hari ini kerana bakal melangsungkan perkahwinannya pada Ahad ini dan akan terlepas aksi bertemu UKM FC di Stadium Likas, Sabtu ini.

Ketika dihubungi, Paunovic berkata dia berjanji akan melakukan yang terbaik berbanding sebelum in, dan berharap akan meledak lebih banyak gol.

Kemasukan Paunovic itu sekali gus melengkapkan kouta empat pemain import pasukan berkenaan selepas SAFA turut mengikat pemain dari Jepun, Keisuke Ogawa, semalam.

Paunovic dan Ogawa menggantikan Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong yang tidak disambung kontrak mereka selepas tamat pada 17 Mei lalu.

Dua lagi pemain import yang dikekalkan ialah pertahanan dari Zambia, Francis Kansode, dan penyerang dari Puerto Rico, Hector Omar Ramos.