Rodoljub Paunovic berharap penampilan pertamanya bersama Sabah musim ini akan membawa tuah kepada pasukan itu, sekali gus menamatkan badi tujuh perlawanan tanpa kemenangan apabila mereka berkunjung ke Stadium UiTM Shah Alam untuk bertemu UiTM FC dalam Liga Perdana, malam esok.

Penyerang dari Serbia itu kembali menyertai skuad kendalian Jelius Ating itu baru-baru ini selepas hanya beraksi selama setengah musim bersama pasukan itu, musim lalu.

"Saya mengikuti perkembangan Sabah dan saya nampak keputusan begitu memberangsangkan pada awal musim, namun di penghujung pusingan pertama, prestasi pasukan tidak begitu bagus.

"Untuk penampilan pertama saya malam esok, saya harap akan dapat memberi impak dan seterusnya menghadiahkan jaringan buat Sabah.

"Bagaimanapun, apa yang paling penting ialah kami menewaskan mereka (UiTM FC), tidak kisahlah siapa pun yang menjaringkan gol," katanya ketika dihubungi hari ini.

Paunovic berkata UiTM FC sebuah pasukan yang kuat, namun dia yakin kekuatan lebih berpihak kepada Sabah.

"Pada musim lalu, ketika saya menyertai Sabah, saya menjaringkan gol pertama saya untuk pasukan ini ketika bertemu dengan UiTM FC, saya harap akan mengulanginya," katanya.

Sementara itu, Paunovic turut berterima kasih kepada Jelius dan pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim, kerana memberinya peluang untuk sekali lagi menyumbang bakti kepada Sabah.

"Saya juga tidak sabar untuk kembali beraksi (bersama Sabah) dan saya harap rakan sepasukan akan memberi sokongan kepada saya, terutama ketua pasukan, Rawilson Batuil, dan semua pemain lain," katanya.

Pada musim lalu, Paunovic diserapkan dalam pasukan Sabah pada pertengahan musim selepas Jelius mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih dan penyerang itu berjaya menyumbat sembilan gol sepanjang aksi bersama pasukan itu.

Paunovic kemudian sekali lagi diberi kepercayaan oleh Jelius selepas membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon, bulan lalu.

Pemain itu, bagaimanapun, terlepas aksi ketika Sabah kecundang 1-3 kepada UKM FC di Stadium Likas, tempoh hari, kerana melangsungkan perkahwinannya pada Ahad lalu.