Penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic, dijangka menyarung semula jersi Sabah bagi membantu pasukan berkenaan menghadapi baki saingan liga musim ini.

Pemain yang beraksi selama setengah musim bersama Sang Badak musim lalu itu dijangka tiba di Kota Kinabalu esok bagi menandatangani kontrak selama enam bulan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Lawrence Gimbang, berkata keputusan itu dibuat selepas menerima cadangan dan pandangan daripada ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating.

Kemasukan Paunovic itu sekali gus melengkapkan kouta empat pemain import pasukan berkenaan selepas SAFA turut mengikat pemain dari Jepun, Keisuke Ogawa, pagi tadi.

Paunovic dan Ogawa menggantikan Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong yang tidak disambung kontrak mereka selepas tamat pada 17 Mei lalu.

Dua lagi pemain import yang dikekalkan ialah pertahanan dari Zambia, Francis Kansode, dan penyerang dari Puerto Rico, Hector Omar Ramos.

"Bagaimanapun setakat ini, kami belum dapat mengesahkan sama ada Ogawa akan sempat beraksi Sabtu ini bertemu UKM FC, kami sedang berusaha untuk mempercepatkan segala proses yang perlu dilakukan.

"Bagi Paunovic pula, beliau tidak akan beraksi pada Sabtu ini kerana bakal melangsungkan perkahwinan pada 3 Jun nanti," kata Lawrence.