Pemain import, Keisuke Ogawa, adalah antara empat tonggak Sabah yang akan diketepikan dalam aksi Liga Perdana menentang Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Pemain import dari Jepun itu dilaporkan masih belum pulih daripada kecederaan yang dialaminya ketika aksi bertemu Sarawak di Kuching, baru-baru ini.

Tiga lagi tonggak Sabah yang tidak dapat beraksi malam ini ialah pemain pertahanan, Maffry Balang dan Jenius Karib, yang masih cedera manakala Randy Baruh menjalani penggantungan perlawanan.

Bagaimanapun, pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap yakin anak buahnya, terutama pemain muda yang akan diturunkan, mampu menyaingi lawan, sekali gus mencuri mata daripada TFC II.

"Kami telah bersiap sedia untuk perlawanan ini (bertemu TFC II) dan saya yakin pemain mampu menyaingi mereka agar tidak pulang dengan tangan kosong.

"Kami akan memberi peluang kepada beberapa pemain muda bagi menggalas tugas yang terpaksa ditinggalkan pemain utama dan saya yakin mereka mampu memberi respons yang baik," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Jelius berkata pasukannya itu harus mengelak daripada terus tercicir mata dan berharap pertemuan dengan TFC II, malam nanti, menjadi titik permulaan bagi pasukannya untuk terus mengutip mata demi mata sehinggalah musim ini habis.

"Kami perlu terus mengutip mata untuk menghidupkan peluang beraksi dalam Piala Malaysia. Kami perlu fokus dengan sasaran ini kerana hanya memiliki empat perlawanan lagi," katanya.

Dalam pada itu, Jelius masih belum memutuskan siapa penjaga gol yang bakal memulakan perlawanan, sama ada Robson Rendy Rining atau Rozaimie Rohim.

Beliau juga dijangka akan menggunakan khidmat pertahanan muda, Evan Wensley Wenceslaus, untuk bersama-sama dengan Rawilson Batuil, Francis Kasonde serta Dendy Lowa menubuhkan benteng.

Di bahagian tengah pula, ketiadaan Ogawa akan diisi seorang lagi pemain muda, Hamran Peter, yang bakal menggerakkan bahagian tengah bersama Sabri Sahar, Mohd Azzizan Nordin dan Maxsius Musa manakala Hector Omar Ramos dan Rodoljub Paunovic kekal sebagai pemburu jaringan buat Sabah.