Sabah akan merehatkan pemain import dari Jepun, Keisuke Ogawa, dalam aksi Liga Perdana bertemu Felcra FC di Stadium Likas, malam ini.

Pengendalinya, Jelius Ating, berkata pemain tengah itu telah kembali menjalani latihan seperti biasa, namun beliau mahu Ogawa benar-benar cergas kerana tidak mahu mengambil risiko dia kembali tercedera.

"Dia terlepas perlawanan sebelum ini dan kami juga akan sekali lagi merehatkannya malam ini. Kami masih ada baki dua perlawanan, namun kami juga perlu mengambil kira perlawanan akan datang, iaitu Piala Malaysia.

"Biar Ogawa benar-benar cergas baru saya turunkannya," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata mereka juga akan kehilangan khidmat pemain pertahanan, Dendy Lowa, yang mengalami kecederaan dalam aksi bertemu Pulau Pinang Rabu lalu, dan tempatnya dijangka akan diganti dengan pemain muda, Evan Wensley Wenceslaus.

Dalam pada itu, beliau berkata Sabah tidak akan memberi laluan mudah kepada Felcra FC untuk mendapatkan tiket ke Liga Super musim depan, sebaliknya bertekad untuk menewaskan pasukan itu malam ini.

Felcra FC hanya memerlukan satu kemenangan bagi menjamin kedudukan mereka di tempat kedua tetapi sekiranya Sabah menundukkan Felcra FC, maka slot terakhir untuk layak ke Liga Super hanya akan dapat ditentukan dalam perlawanan terakhir liga nanti.

"Saya akui Felcra FC sebuah pasukan yang kuat, namun kami tidak akan memberi laluan mudah kepada mereka. Kami juga mahu mengutip mata penuh untuk perbaiki serta perkukuhkan kedudukan kami," katanya.