Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, tidak menolak kemungkinan bahawa pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, akan dipanggil untuk memperkuatkan barisan negara bagi lima aksi persahabatan yang sudah dirangka sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF, November depan.

Meskipun Kelantan kini berada di tangga tercorot Liga Super, namun ia tidak menjadi penghalang buat Cheng Hoe untuk menaruh keyakinan terhadap pemain tengah berusia 19 tahun itu.

Musim ini juga menyaksikan Cheng Hoe sudah beberapa kali memantau kelibat Nik Akif dalam saingan Liga Super.

Walaupun mengakui skuad negara ke Piala Suzuki akan dibarisi sebahagian besar pemain yang mempunyai pengalaman, Cheng Hoe akan tetap memberikan ruang buat pemain muda seperti Nik Akif jika kekal konsisten dalam Liga Super.

"Sudah tentu kami masih memantaunya. Dia mempunyai potensi yang besar pada masa depan. Saya harap dia konsisten dan lebih berkeyakinan.

"Tetapi, semasa berada di Kelantan, dia bermain dengan begitu baik,"ujar Cheng Hoe.

Dalam pada itu, Cheng Hoe percaya lima aksi persahabatan yang dirangka buat skuad negara berupaya memberikan persediaan terbaik untuk mengharungi Piala Suzuki kali ini.

Harimau Malaya akan berdepan Fiji dalam aksi persahabatan pertama pada 5 Julai depan, sebelum menghadapi empat lagi pasukan, iaitu Taiwan, Kemboja, Sri Lanka dan Kyrgyzstan.

"Kami akan berdepan Kyrgyzstan pada Oktober nanti, di mana saya rasa ia adalah antara pasukan terbaik di Asia. Itu juga adalah ujian sebenar kekuatan pasukan kita," katanya lagi.

Jadual perlawanan persahabatan

1. Malaysia lwn Fiji: 5 Julai 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras

2. Taiwan lwn Malaysia: 7 September 2018 di Taipei

3. Kemboja lwn Malaysia: 10 September 2018 di Phnom Penh

4. Sri Lanka lwn Malaysia: 12 Oktober 2018 di Colombo

5. Malaysia lwn Kyrgyzstan: 16 Oktober 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil